‘Lima kali raya pun tak habis bayar ah long’

JOHOR BAHRU 16 Sept. – “Kalau berhutang dengan ah long, sampai lima kali raya pun tak habis bayar dan jawabnya ada yang berpindah-randah kerana diburu lintah darat itu”.

Itu jawapan penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim ketika ditanya trend meminjam daripada ah long semata-mata untuk beraya sakan pada Hari Raya Aidilfitri.

Akibat hendak beraya melebihi kemampuan, ada yang sanggup meminjam daripada ah long dan akhirnya diri terjerat dengan hutang dan hidup dalam ketakutan.

Kemampuan diri diketepikan asalkan semuanya baru di Aidilfitri termasuk cat rumah, kereta, perabot, langsir sehingga ke baju dan kasut.

Kamal Affandi berkata, keadaan itu berlaku kerana golongan tersebut menyambut hari raya menerusi budaya tidak sihat yang disifatkannya sebagai tidak mahu nampak ‘kurang’ di mata orang lain.

“Sepatutnya kita menyambut Aidilfitri bagi meraikan kejayaan menunaikan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan.

“Tetapi konsep mereka (peminjam ah long) tentang raya ini lain pula, sanggup berhutang untuk bergaya bagi menunjuk-nunjuk kepada jiran-jiran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, ada yang datang menemuinya untuk meminjam sebanyak RM15,000 bagi menjelaskan hutang ah long yang dibuat untuk menyambut Aidilfitri tahun lalu.

Katanya, orang yang berhasrat meminjam itu menyatakan sanggup membayar ansuran pinjaman sebanyak RM500 sebulan, namun beliau tidak mampu membantunya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya menyimpan dan merancang kewangan untuk menyambut Aidilfitri.

“Hari raya hanya setahun sekali, jadi kalau kita menyimpan dan merancang dengan teliti, tentunya boleh membeli keperluan raya yang dihajati.

“Bagaimanapun, belanja biar ikut kemampuan bukannya ikut hati,” katanya.

Sementara itu, ada juga kes seorang peniaga kecil-kecilan yang mendapat pinjaman daripada bank untuk perniagaannya telah menyalahgunakan wang tersebut untuk berbelanja mewah bagi menyambut Aidilfitri.

“Secara kebetulan, pinjaman diluluskan sewaktu hari raya hampir tiba dan akibat terlalu mengikut nafsu, wang itu digunakan untuk beraya sakan.

“Akhirnya peniaga itu terpaksa pula berhutang dengan ah long untuk menjelaskan pinjaman bank,” katanya.

Kamal Affandi turut mengingatkan orang ramai tentang bahaya meminjam daripada ah long kerana golongan itu sanggup bertindak kejam kepada mereka yang gagal melunaskan pinjaman.

Katanya, paparan media tentang peminjam yang dikurung dan dirantai dalam sebuah bilik yang diubah suai seperti penjara kerana gagal menjelaskan hutang sewajarnya menginsafkan orang ramai supaya menjauhi ah long.

Sejauh mana pula, ancaman atau godaan ah long di negeri ini? Berdasarkan laporan media tidak keterlaluan jika dikatakan ia agak serius.

Baru-baru ini, media melaporkan lima ketua ah long termasuk seorang bergelar Datuk yang terlibat dalam kegiatan memberi pinjaman secara haram membabitkan nilai pinjaman sebanyak RM10 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin dipetik sebagai berkata, kebanyakan yang ditahan berasal dari negeri ini.

Malah beliau dilaporkan berkata, kelima-lima ketua kumpulan itu yang berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan di beberapa lokasi di sekitar negeri ini.

Dalam satu lagi laporan media, bilangan kes membabitkan ah long yang dilaporkan kepada Biro Perkhidmatan dan Pengaduan Awam MCA Johor telah meningkat sebanyak 60 peratus pada tahun lalu berbanding 2007.

Aduan diterima daripada pelbagai kaum dengan 20 peratus daripadanya terdiri daripada pengadu wanita.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: