Cara menghargai pengguna lebuh raya bertol

DALAM sejarah kewujudan lebuh raya bertol di negara ini, tidak pernah sama sekali pemegang konsesinya menawarkan perjalanan percuma.

Kalau ada pun hanya ketika ia mula dibuka atau masih dalam percubaan. Selepas itu setiap tahun syarikat akan menuntut kenaikan tol.

Alasan yang diberikan untuk mewajarkan kenaikan itu ialah syarikat pemegang konsesi rugi. Sedangkan setiap syarikat pemegang konsesi itu menerima subsidi bernilai ratusan juta ringgit daripada kerajaan saban tahun.

Namun apa yang dilakukan oleh MTD Prime Sdn. Bhd., pemegang konsesi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak mungkin boleh dianggap di luar kebiasaan.

Syarikat itu telah bertindak di luar norma biasa dengan menawarkan laluan tol percuma.

Sebelum ini rakyat terpaksa berdemonstrasi di jalanan apabila membabitkan isu tol. Itupun ia tidak merubah apa-apa, ibarat mencurah air ke daun keladi atau seperti anjing menyalak bukit sahaja.

Malah isu yang berkaitan dengan tol ini cukup sensitif.

Sebab itu ramai yang seperti tidak percaya dengan pengumuman MTD Prime itu. Biarpun hanya dua hari, iaitu pada 18 dan 24 September, namun itu merupakan satu langkah berani.

Ia merupakan satu langkah yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pengendali lebuh raya di negara ini.

Jarang syarikat korporat sanggup mengorbankan pendapatan dan keuntungan mereka untuk kepentingan rakyat dan pengguna.

PLUS Expressway Berhad (PLUS) yang mengendalikan Lebuh Raya Utara Selatan – rangkaian lebuh raya terpanjang di Malaysia – sekadar memberikan potongan 20 peratus.

LPT dan lebuh raya PLUS merupakan dua laluan yang akan menjadi tumpuan pengguna pada musim perayaan ini.

LPT untuk mereka yang mahu pulang ke Kelantan, Terengganu dan Pahang. Lebuh raya PLUS pula untuk yang ke utara dan selatan.

Dianggarkan lapan juta kenderaan akan berada di kedua-dua lebuh raya itu sepanjang musim Hari Raya Aidilfitri ini.

Sudah tentu jumlah itu bakal memberikan pulangan yang cukup lumayan kepada pemegang konsesi kedua-dua lebuh raya itu.

Jumlah kenderaan yang banyak itu juga bakal menyebabkan kesesakan yang serius terutama di plaza-plaza tol.

Sebab itu apabila MTD Prime menawarkan laluan tol percuma dari pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi pada 18 dan 24 September ini, diharapkan ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pengguna.

Malah ia juga diharapkan dapat dicontohi oleh pemegang-pemegang konsesi yang lain sebagai satu tanggungjawab sosial mereka.

Tiap-tiap hari mereka mengutip tol daripada pengguna. Apa salahnya sehari dalam setahun diberikan laluan percuma.

Memang tidak dinafikan sebahagian daripada kutipan itu digunakan untuk menaiktaraf dan menyelenggara lebuh raya terbabit. Tetapi kalau sesekali terutama pada musim perayaan diberikan laluan percuma, tentu ia amat dihargai.

Sebagai syarikat yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat, pemegang-pemegang konsesi ini perlu ingat bahawa kepuasan pengguna amat penting.

Jangan hanya tahu menuntut kenaikan tol sahaja. Mereka juga kena tahu dan kena belajar macam mana untuk menghargai pengguna.

Walaupun keuntungan merupakan matlamat utama sesebuah syarikat, tetapi ia tidak bermakna mereka perlu bertindak seperti lintah darat tanpa perlu mempedulikan masalah pengguna.

Jadi, apa yang dilakukan oleh MTD Prime itu perlu dilihat dan diteliti oleh pemegang-pemegang konsesi yang lain.

Tidak mungkin syarikat boleh muflis kalau setakat memberikan tawaran tol percuma sekali dalam setahun.

Tetapi jika boleh tawaran laluan percuma itu elok dilakukan secara berperingkat supaya orang ramai boleh merancang dengan teliti perjalanan mereka.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: