Lintah beri pulangan lumayan

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
utusanjohor@utusan.com.my

 

Norazman Mustaphar memberi makan ikan belut sebagai makanan lintah di Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI



 

JOHOR BAHRU 22 Mei – Tanpa pengalaman tidak bererti tidak boleh berjaya jika ada minat dan usaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh kejayaan.

Itulah yang dipraktikkan oleh Norazman Mustapfar, 40, hingga membolehkan dia menjadi penternak dan penasihat cara-cara menternak lintah kepada individu yang berminat.

Beliau berkata, pada mulanya dia tidak terfikir untuk menceburi bidang penternakan lintah kerana tumpuannya lebih kepada kerja-kerja kontraktor.

Bagaimanapun, semua itu berubah dua tahun lalu, apabila harga simen dan besi naik sekali gus memberi kesan kepadanya yang merupakan kontraktor kelas F ketika itu.

Menurutnya, dia terpaksa mencari alternatif lain untuk menyara keluarga dan pekerjaan terpantas yang membolehkan dia mendapat wang segera adalah menternak lintah.

”Cara mudah untuk saya mendapat pendapatan segera adalah dengan menternak lintah. Itupun selepas saya membaca artikel tentang seorang penternak lintah di Perak dalam akhbar. Kalau penternak itu boleh berjaya kenapa tidak saya.

”Saya terus menelefon Rozana di Selama, Perak dan mengikuti kursus sehari dengannya. Belum puas hati dengan pengetahuan itu, saya ikuti kursus lagi dengan seorang penternak lintah di Meru, Klang,” katanya, hari ini.

Berbekalkan pengetahuan sejengkal itulah, dia memberanikan diri membeli tanah seluas 0.2 hektar dengan harga sebanyak RM105,000 untuk membina 10 buah kolam berharga RM30,000 di Ulu Tiram, dekat sini.

Katanya, menternak lintah tidak memerlukan perhatian rapi kerana haiwan tersebut boleh hidup sendiri jika ‘kediamannya’ sama dengan habitat asal.

Selain itu, lintah tidak memerlukan makanan setiap hari seperti haiwan ternakan lain, sebaliknya sesekali memberi belut, ikan keli dan baja cikopet sebagai makanan.

Untuk penginapan lintah, dia membina kolam-kolam konkrit yang diisi dengan tanah, lumpur, pasir, batu sungai, batang kayu atau tayar terpakai agar ia menyamai kediaman asal lintah seperti di paya atau sawah.

”Memang lintah boleh diternak dalam kolam tangki atau kanvas tapi ternakan itu akan lebih cepat membiak jika persekitarannya sama dengan habitat asal.

”Lintah kalau tidak makan ia suka menyembunyikan diri dalam lumpur dan persekitaran yang serasi perlu disediakan agar lintah cepat membiak,” katanya.

Menurutnya, seekor lintah induk boleh membiak hingga 300 ekor benih dan tempoh benih matang adalah empat bulan ke atas.

”Lintah ini tiada masa matang yang tetap untuk dijual. Kadangkala ada yang ingin membeli benih, ada juga yang membeli lintah untuk perubatan atau membuat alat kosmetik. Semua itu saya jual mengikut kehendak pelanggan.

”Biasanya, lintah yang berusia dua bulan berharga 50 sen seekor, empat bulan 80 sen seekor, lapan bulan berharga antara RM1 hingga RM1.80 seekor. Permintaan memang banyak dan kadang-kadang saya yang tidak mampu untuk memenuhi kehendak pelanggan,” katanya.

Lulusan Diploma Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu hanya menggunakan seorang pekerja untuk menguruskan ternakan itu.

Beliau yang merupakan ahli jawatankuasa Persatuan Lintah Negeri Johor berkata, di negeri ini sahaja terdapat kira-kira 40 penternak lintah dan 500 penternak yang menyertai Persatuan Lintah Malaysia.

Norazman yang turut mengadakan kursus menternak lintah setiap bulan berkata, ternakan lintah boleh memberi keuntungan besar jika kena caranya dan ia juga mampu memberi pulangan modal dengan cepat.

”Sebenarnya kalau kita tengok di kedai ubat Cina, memang ada jual lintah kering sebab lintah ini walaupun kecil tapi banyak kegunaannya,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: