rahsia lintah

Rahsia lintah bagi lelaki

Oleh SHARIZA ABDULLAH

BADRUL Hisham Ramli (kiri) dan Muhamad Mohd.Ali memeriksa kolam ternakan lintah yang mereka usahakan di Jalan Bawah, Penaga, Pulau Pinang, baru-baru ini.


KEPALA BATAS 20 Jun – Lintah yang juga spesis hidupan air sudah lama dikenali dan digunakan oleh orang Melayu sebagai ramuan perubatan terutamanya untuk meningkatkan daya seks lelaki.

Malah, kajian demi kajian perubatan moden membuktikan bahawa spesis yang sinonim dengan nama ‘drakula’ itu amat berguna untuk perjalanan darah beku bagi tujuan merangsang dan melancarkan pengaliran darah.

Khasiat mengagumkan lintah dalam dunia kecantikan dan perubatan menyebabkan permintaan terhadap haiwan itu semakin meningkat sehingga dilihat sebagai cabang perniagaan baru yang memberi pulangan lumayan.

Berkongsi pandangan sama, dua sahabat karib mendirikan syarikat Arowana Vision Sdn. Bhd. yang mengusahakan perniagaan pembiakan lintah secara komersial di Penaga di sini sejak kira-kira setahun lalu.

Semuanya bermula secara kebetulan apabila Badrul Hisham Ramli, 41, bersama rakannya, Muhamad Mohd. Ali, 40, terbaca sebuah artikel di majalah mengenai kemujaraban lintah dan potensi haiwan itu berkembang sebagai industri yang menguntungkan.

“Sejak itu, kami tidak menoleh ke belakang dan saya mendapatkan maklumat sebanyak mungkin termasuk daripada Internet untuk mengetahui khasiat haiwan ini secara lebih mendalam.

“Selepas menubuhkan syarikat, kami memulakan perniagaan lintah dengan mendapatkan benih induk di sekitar Kedah dan Selangor lalu membiakkannya secara kecil-kecilan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Badrul Hisham berkata, pada mulanya mereka menghadapi pelbagai masalah kerana belum menguasai bidang itu secara mendalam sehingga menyebabkan kerugian apabila lintah yang diternak kurang bermutu sekali gus gagal memberi pulangan memuaskan.

“Kami hampir putus asa ketika itu tetapi mengenangkan modal yang dikeluarkan sudah terlalu banyak iaitu kira-kira RM60,000 termasuk untuk penyediaan infrastruktur dan pembelian benih, kami cari jalan untuk teruskan juga,” katanya.

Hasil usaha bersungguh-sungguh termasuk mendapatkan bantuan pakar-pakar tempatan, mereka mencipta sendiri formula ternakan lintah yang berjaya menghasilkan benih lintah yang banyak dan berkualiti.

Sehingga kini, Badrul Hisham dan Muhamad mempunyai lebih 70,000 ekor lintah induk manakala 60,000 benih haiwan tersebut yang diternak di 50 kolam simen dan kolam tangki poli di ladang mereka di Jalan Bawah, Penaga di sini.

Menurut Badrul Hisham, setiap lintah induk dijual pada harga RM1.80 seekor dan permintaan terhadap haiwan itu mencecah lebih 20,000 ekor setiap bulan.

“Kebanyakan daripada pelanggan kami terdiri daripada syarikat pengusaha produk kecantikan dan pengusaha kecil lintah yang baru memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Memandangkan permintaan lintah semakin meningkat, kami bercadang untuk meningkatkan lagi kapasiti ternakan dan berhasrat mengeksportnya ke Eropah,” jelasnya.

Selain itu katanya, mereka merancang untuk mengusahakan ekstrak pati zat hirudin atau nama saintifiknya Hirudo Medicinalis iaitu sejenis protein yang diperolehi daripada lintah tempatan dan berkhasiat sebagai agen antipembekuan semulajadi.

Menurut Badrul Hisham, daripada beberapa penyelidikan, telah dibuktikan bahawa hirudin boleh berfungsi secara berkesan menyekat pembentukan thrombus bagi menghalang proses pembekuan darah.

“Buat permulaan, kami menghasilkan produk berasaskan lintah dikenali minyak Stay D-Oil secara kecil-kecilan dan setakat ini sambutannya sangat menggalakkan terutamanya oleh pengamal perubatan kampung,” tambahnya.

Pada masa yang sama katanya, mereka turut menyediakan perkhidmatan rawatan bekam menggunakan lintah tetapi diusahakan secara sambilan memandangkan tidak mempunyai tenaga kerja untuk menjalankan rawatan itu secara tetap.

Bagi membantu usahawan-usahawan kecil untuk berkecimpung dalam ternakan lintah, Badrul Hisham dan Muhamad juga menyediakan kursus ternakan haiwan itu kepada mereka yang berminat.

Badrul Hisham berkata, mereka yang berminat mengikuti kursus tersebut boleh menghubungi Arowana Vision di talian 016-4835469 atau 019-4737766.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: