pengusaha lintah

Ibu tunggal pengusaha lintah

Oleh ANI AWANG

INDUK lintah bertelur di celah-celah dahan pokok keladi.


BAGAN SERAI 25 Jun – Lintah yang dikenali sebagai haiwan penghisap darah kini mampu memberikan pendapatan lumayan dan mula dikomersialkan sebagai salah satu ternakan setelah terbukti mampu dijadikan sebagai salah satu rawatan alternatif.

Menyedari ternakan lintah itu mampu dimajukan, seorang ibu tunggal, Norhayati Harun, 48, dari Batu 10, Kampung Jaya, Jalan Taiping, dekat sini telah memulakan projek ternakan lintah sejak awal tahun ini.

Beliau memajukan ternakan tersebut dengan pelaburan awal sebanyak RM3,000 untuk membeli enam tong plastik dan anak lintah.

”Saya telah melakukan pelbagai kerja sebelum ini dan berminat belajar menternak lintah setelah mengikuti beberapa kursus mengenai pemeliharaan lintah daripada mereka yang berjaya di Ipoh dan Kedah.

”Saya dapati ternakan lintah ini adalah satu kerja mudah dan ia boleh dimajukan kerana masa untuk menjaga ternakan ini tidak terlalu ketat jadualnya.

”Kita boleh melakukan kerja-kerja rumah yang lain dan tidak terlalu tertumpu kepada ternakan yang memerlukan perhatian yang serius dan menjimatkan kos,” katanya kepada Utusan Melaysia di sini semalam.

Menurut Norhayati, induk lintah akan membiak dan bertelur dalam tempoh tiga bulan bergantung kepada makanan yang diberikan.

Beliau turut berasa sangat beruntung kerana dibantu oleh seorang anaknya, Nohidayah Sharuddin, 21, pelajar di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang banyak mencari pelbagai maklumat berguna mengenai ternakan lintah.

”Anak saya banyak membantu bagi mendapatkan beberapa maklumat mengenai ternakan lintah melalui Internet,” ujarnya.

Tambah Norhayati, beliau kini membesarkan lagi ternakan itu dengan membina tiga kolam simen bersaiz sederhana sedalam satu meter di belakang rumahnya.

”Saya memindahkan lintah dari tong plastik ke dalam kolam simen bagi memudahkan lintah bertelur di celah-celah dahan pokok keladi.

”Lintah mudah membiak di bawah pokok keladi kerana ia merupakan habitat semula jadinya,” kata beliau.

Menurut Norhayati, beliau menggunakan pokok keladi kerana ia sejuk dan menjadi tempat lintah membiak kerana pokok itu juga menjadi sebahagian bahan makanan lintah.

”Seekor spesies lintah boleh menghasilkan di antara 100 hingga 150 telur bergantung kepada saiz spesiesnya,” katanya.

Kata Norhayati, selain itu, beliau juga menjual produk makanan lintah yang diproses menggunakan bahan mentah tempatan.

Katanya, makanan tersebut dijual dengan harga RM75 bagi peket seberat lima kilogram.

”Saya menjual bahan makanan lintah ini kerana harganya lebih murah berbanding dengan membeli makanan belut yang harganya tinggi di pasaran.

”Produk makanan ini juga didapati berkesan kerana lintah lebih banyak membiak selepas memakan makanan yang dihasilkan itu,” katanya.

Norhayati menjelaskan, beliau kini memperoleh pendapatan lebih RM5,000 sebulan dengan menjual induk lintah sejak memajukan ternakan tersebut.

Setakat ini, beliau mempunyai 30,000 induk yang boleh dipasarkan.

Beliau juga bercadang untuk membesarkan lagi ternakan itu dari semasa ke semasa bagi memenuhi permintaan tempatan.

Sehubungan itu, katanya, sesiapa yang berminat untuk membeli induk lintah boleh menghubungi beliau di 019-5788529 dan 017-3039107.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: